Selasa, 10 Mac 2015

PELAN INTEGRITI NASIONAL

LATAR BELAKANG

PELAN INTEGRITI NASIONAL (PIN)

Menyedari  tentang  pentingnya  integriti  di  kalangan  masyarakat, Kerajaan  telah  menyediakan
dan  melaksanakan  Pelan  Integriti  Nasional (PIN).  Pelan  ini  dibangunkan  dengan  fokus utamanya  untuk  menanam  dan  memupuk  budaya  etika  dan  integriti  di  kalangan  semua  lapisan masyarakat  Malaysia. Pelan  seumpama  ini  membolehkan  Kerajaan  merancang  pelbagai  program  secara  teratur  dalam  usaha  membudayakan  etika  dan  integriti  masyarakat. Sebelum  ini  telah terdapat  pelbagai  usaha  yang  dilakukan, tetapi  didapati  usaha-usaha  ini  tidak  konsisten  dan tidak  menyeluruh  dan  hasilnya  sebilangan  besar  usaha-usaha  ini  menemui  kegagalan  terutamanya  dalam  usaha  mewujudkan  sinergi  semua  sektor. Skop  dan  konsep  yang  dibawa  oleh  PIN  kelihatannya  lebih  menyeluruh  dan  holistik  dalam  memberi  panduan  kepada  setiap komponen  masyarakat  untuk  membudayakan  integriti.
PIN  yang  dilancarkan  pada  23  April  2004, oleh Y.A.B. Perdana  Menteri  Malaysia, Datuk  Seri Abdullah  Haji  Ahmad  Badawi, adalah  selaras  dengan  cabaran  ke  empat  Wawasan  2020  iaitu untuk  “Membentuk  sebuah  masyarakat  yang  kukuh  ciri-ciri  moral  dan  etikanya,  dengan  para warganya  mempunyai  nilai  keagamaan  dan  kerohanian  yang  utuh,  dan  ditunjangi  oleh  budi pekerti  yang  luhur”. Objektif  khusus  PIN  adalah;

1. Memberikan  hala  tuju  dan  bimbingan  pelbagai  sektor  supaya  mereka  dapat  bekerjasama dalam  usaha  besar  membina   masyarakat  yang  bersatu  padu,   berharmoni,  berintegriti,  bermoral dan  beretika;

2. Meningkatkan   kesedaran,   komitmen  dan  kerjasama  pelbagai  sektor  dalam  usaha  peningkatan  integriti  supaya  integriti  menjadi  budaya   masyarakat  dan   diamalkan  dalam  semua  bidang;

3. Menggalakkan  semangat   bertanggungjawab  di  kalangan  anggota  masyarakat  serta  mendorong  perkembangan  masyarakat  sivil  yang  menjunjung  prinsip  integriti  dan  bergerak cergas  menegakkan  integriti;

4. Menyumbang  kepada  usaha  pengukuhan  asas  moral  masyarakat  dan  negara, dan  peningkatan kesejahteraan  hidup  anggota  masyarakat

5. Meningkatkan  daya  saing  dan  daya  tahan  Malaysia  dalam  usaha  menangani  cabaran  abad ke-21  khususnya  cabaran  globalisasi  dengan  lebih  berkesan.

Tiada ulasan :