Sabtu, 14 Mac 2015

KESIMPULAN PELAN INTEGRITI NASIONAL

 perpaduan dan integrasi nasional adalah satu perkara penting bagi sesebuah negara yang sedang membangun seperti Malaysia. Oleh yang demikian, semua rakyat harus bersama-sama memainkan peranan dalam meningkatkan perpaduan untuk membina sebuah bangsa yang terdiri dari rakyat yang berbilang kaum, yang hidup bersatu padu serta aman sentosa. Kerajaan dan pihak-pihak yang bertanggungjawab perlu bijak dalam menentukan hala tuju dan dasar sesebuah negara untuk mewujudkan perpaduan di dalam sesebuah negara serta integrasi nasional amat penting bagi membangunkan sesebuah negara ke arah global dan dikenali di mata dunia.
Program-program yang telah dilancarkan dan dilaksanakan oleh kerajaan telah dikaji oleh golongan pakar sebelum dilancarkan. Bersesuaian atau tidak dasar-dasar atau program-program yang dilancarkan bukan sahaja bergantung kepada peranan kerajaan, tetapi juga bergantung kepada sikap individu atau rakyat itu sendiri. Keadaan ini menunjukan bahawa, kepentingan dan semangat perpaduan dan integrasi nasional perlu dipupuk sejak dari kecil.
Segala bentuk dan cara program-program yang telah dilaksanakan dan dilancarkan oleh kerajaan adalah dengan tujuan dan arah yang sama iaitu untuk kepentingan negara. Program dan rancangan yang dilaksanakan oleh kerajaan dilihat banyak memberi kesan kepada negara melalui Program Belia berbanding Sekolah Wawasan dan Pelan Integriti Nasional. Namun begitu, individu dan masyarakat perlu memberikan sokongan sepenuhnya terhadap program dan pelaksanaan yang telah dan yang akan dilancarkan oleh pihak kerajaan selagi ia tidak menjejaskan negara. Ini kerana, jatuh bangun sebuah negara bergantung kepada semangat perpaduan dan integrasi yang ada di dalam diri masyarakat tersebut.


FAKTOR KEGAGALAN


NILAI, ETIKA, INTEGRITI

PENJELASAN
 
Nilai, Etika dan Integriti adalah tiga kata kunci terpenting yang mendasari PIN perlu diperjelaskan.

NILAI
 Satu set pegangan yang menjadi asas bagi pembentukan sikap dan kelakuan individu. Set pegangan ini menentukan kriteria perlakuan yang baik atau sebaliknya, yang diingini atau tidak dan positif atau negatif.
\
ETIKA
 Etika ialah himpunan nilai dan moral yang menjadi piawai bagi tingkah laku individu, organisasi dan profesyen.
      
1.  Etika Individu
 Etika individu ialah himpunan nilai pada diri individu yang membimbingnya dalam membezakan antara yang benar dan yang salah, yang baik dan yang buruk, yang patut dan boleh dilakukan, serta yang tidak patut dan tidak boleh dilakukan. Pemilihan antara perkara-perkara ini sentiasa berlaku semasa menjalankan tugas, dalam kehidupan sehari-hari, ataupun apabila berinteraksi dengan pihak lain.

2.  Etika Organisasi
Bagi yang bekerja dalam sesebuah organisasi, etika organisasi menjadi garis panduan baginya menjalankan tugas, seperti perlu berpegang pada nilai bersih, cekap, amanah, jujur, benar, telus, bertanggungjawab dan adil. Oleh sebab organisasi berurusan dengan orang ramai, maka etika organisasi juga menuntut penjawat itu mematuhi Piagam Pelanggan.

3.  Etika Profesyen
 Etika profesyen ialah kod yang menggariskan apa yang harus dibuat dan tidak harus dibuat oleh pengamal profesyen berkenaan. Antara profesyen yang mempunyai kod etikanya termasuk kedoktoran, kehakiman, undang-undang, perakaunan, kewartawanan dan perguruan. Misalnya, seorang doktor atau hakim terikat dengan etika profesyen yang dipraktikkannya. Seorang editor, pengarang atau wartawan pula perlu berpegang pada etika kewartawanan dalam penyebaran maklumat melalui media. Begitu juga seorang guru mesti mematuhi etika perguruan.

INTEGRITI
 Integriti secara umumnya ialah kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu dan organisasi. Integriti berkaitan erat dengan etika. Ia adalah berlandaskan etika dan pencerminan etika dalam tindakan sehari-hari.

1. Integriti Individu
 Integriti individu ialah keselarasan di antara apa yang dikatakan oleh individu dengan apa yang dikotakannya; keselarasan di antara tindakannya dengan prinsip moral, etika dan undang-undang; serta keselarasan di antara kepentingan diri dengan kepentingan umum. Apa yang dilakukan individu itu pula cepat, tepat dan bermutu. Apabila dia bertindak atau bertingkah lalu demikian secara konsisten dalam pelbagai segi, dia dikatakan mempunyai integriti. Apabila bertindak sebaliknya, dia dikatakan tidak berintegriti atau lemah integritinya.

2. Integriti Organisasi
 Selain individu, organisasi juga mesti mempunyai integriti. Integriti organisasi tercermin dalam perumusan dan pelaksanaan kod etika, piagam pelanggan atau sistem dan proses kerja serta pematuhan kepada amalan terbaik. Kod etika organisasi ditegaskan, diulangi dan dihayati oleh anggota organisasi berkenaan sehingga menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi budaya organisasi.
  
3. Integriti Penjawat Awam
 Bagi individu yang memegang amanah seperti mereka yang menjawat jawatan awam, integriti bermaksud melaksanakan amanah dan kuasa yang dipertanggungjawabkan menurut kepentingan umum. Penjawat jawatan itu tidak boleh menyalahgunakan kuasanya untuk kepentingan diri, keluarga, saudara mara atau kaum kerabat sendiri. Apabila berlaku konflik kepentingan, ia mesti diselesaikan dengan memberi keutamaan kepada kepentingan awam. Dengan demikian penjawat itu perlu telus dan tulus, harus memikul pertanggungjawaban terhadap ketuanya, orang di bawahnya dan kepada pihak lain.

Kesimpulan
 Pembudayaan etika dan integriti individu harus melalui satu proses seumur hidup. Ia melibatkan peranan pelbagai institusi masyarakat seperti keluarga, pendidikan dan media massa. Pembudayaan etika dan integriti dalam organisasi pula, menuntut kepimpinan bertindak sebagai teladan (role model) manakala anggota lain menzahirkan kod itu dalam tindakan mereka. Organisasi juga perlu mempunyai matlamat yang jelas dan realistik yang dikongsi bersama oleh anggota organisasi. Ia perlu mempunyai sistem dan prosedur yang baik bagi melicinkan pelaksanaan tugasnya secara cekap, teratur, dan tepat, di samping mempunyai sistem kawalan kualiti, pemantauan, ganjaran dan penghukuman. Etika dan integriti yang digariskan itu perlu dipatuhi kerana akhirnya seseorang itu bertanggungjawab kepada Tuhannya.

TEKAD INTEGRITI

TEKAD INTEGRITI 1
Memerangi gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa secara menyeluruh dan berkesan;


 


TEKAD INTEGRITI 2
 Meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi kerenah birokrasi





TEKAD INTEGRITI 3
Meningkatkan tadbir urus korporat, etika perniagaan dan tanggungjawab sosial korporat;


TEKAD INTEGRITI 4
Memantapkan institusi keluarga dan komuniti; 




TEKAD INTEGRITI 5
Meningkatkan kualiti hidup dan masyarakat.








APA ITU PIN ?

PIN ialah sebuah pelan integriti yang lahir daripada  aspirasi  masyarakat  dan negara Malaysia, dibentuk mengikut acuan Malaysia dan dimiliki bersama oleh rakyat yang berbilang kaum dan agama.

Pelan ini dibangunkan dengan fokus utamanya untuk menanam dan memupuk budaya etika dan Integriti dikalangan semua lapisan masyarakat 
Malaysia.

 PIN digubal dengan mengambil kira keseluruhan pandangan dan cadangan yang disampaikan melalui satusiri seminar kebangsaan yang berlangsung 
selama kira-kira   dua  bulan,  yang  melibatkan  para peserta  daripada hampir  kesemua sektor masyarakat dan negara Malaysia

Khamis, 12 Mac 2015

PERANAN PELAN INTEGRITI NASIONAL


1. Memberikan hala tuju dan bimbingan pelbagai sektor supaya mereka dapat bekerjasama dalam usaha besar membina masyarakat yang bersatu padu, berharmoni, berintegriti, bermoral dan beretika; 

2. Meningkatkan kesedaran, komitmen dan kerjasama pelbagai sektor dalam usaha peningkatan integriti supaya integriti menjadi budaya masyarakat dan diamalkan dalam semua bidang; 

3. Menggalakkan semangat bertanggungjawab di kalangan anggota masyarakat serta mendorong perkembangan masyarakat sivil yang menjunjung prinsip integriti dan bergerak cergas menegakkan integriti; 

4. Menyumbang kepada usaha pengukuhan asas moral masyarakat dan negara, dan peningkatan kesejahteraan hidup anggota masyarakat; 

 5. Meningkatkan daya saing dan daya tahan Malaysia dalam usaha menangani cabaran abad ke-21 khususnya cabaran globalisasi dengan lebih berkesan. 

Untuk melaksanakan PIN, Institut Integriti Malaysia (IIM) telah ditubuhkan dengan peranan utamanya untuk mengkoordinasikan dan memantau pelaksanaan PIN. IIM telah didaftarkan sebagai sebuah badan bebas berstatus syarikat jaminan kerajaan dibawah Akta Syarikat 1965 pada 4 Mac 2005. Penubuhan IIM ini telah diumumkan kepada masyarakat pada 23 April 2004 bersempena dengan pelancaran PIN. IIM dikawal oleh sebuah Lembaga Pengarah yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara dan dianggotai oleh beberapa orang tokoh yang berwibawa dalam bidang masing-masing.

 Gerakan pemantapan integriti semua lapisan masyarakat berdasarkan PIN dan dikoordinasikan pelaksanaannya oleh IIM diharapkan akan menjadi inspirasi dan kekuatan bagi membina Malaysia yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.


Pembentukan generasi pada masa kini 

1     .  Malaysia ialah sebuah negara sedang membangun yang telah mencapai kejayaan besar dalam pelbagai bidang, dan kini sedang berusaha menjadi sebuah negara maju menurut acuan sendiri menjelang tahun 2020. Untuk menjadi sebuah negara dan masyarakat yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang, Malaysia perlu bijak mengurus kejayaannya agar ia dapat diperkulruh dan dipertingkatkan.

 2    . Transformasi ke arah menjadi masyarakat maju bukan sahaja diasaskan kepada kemajuan ekonomi dan teknologi, tetapi juga kemajuan dalam pembangunan sosial, budaya, intelek dan rohani. Fokus terpenting bagi pembangunan sedemikian ialah peningkatan dan pemantapan etika dan integriti yang perlu menjadi budaya masyarakat. Hanya dengan demikian, barulah kejayaan yang dicapai dapat dilestarikan, kesejahteraan rakyat dapat dipelihara dan ditingkatkan. Dengan cara itu juga prasarana Dunia Pertama yang sudah pun terdapat di Malaysia tidak disia-siakan atau disalahgunakan, manakala sikap dan mentaliti Dunia Ketiga dapat dikikis. 

3    . Perangkaan atau data penting Malaysia memperlihatkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2003 telah meningkat sebanyak 4.5 peratus kepada RM229.3 billion. Pertumbuhan ini dijangka meningkat pada kadar 5.5 hingga 6 peratus dalam tahun 2004. Kemudahan prasarana negara semakin menyeluruh dengan liputan bekalan elektrik dan bekalan air masing-masing mencapai tahap 94 dan 92 peratus sehingga tahun 2002. Pendidikan peringkat rendah telah mencapai 97.8 peratus kemasukan, manakala kadar celik huruf pada tahun 2002 adalah pada tahap 94 peratus. Jangka hayat lelaki dan wanita juga telah meningkat masing-masing kepada 70.4 tahun dan 75.3 tahun manakala kadar kematian bayi semasa lahir juga telah menurun dari 6.6 bagi setiap satu ribu pada tahun 2001 kepada 6.2 pada tahun 2002. Pembangunan, pertumbuhan dan daya saing negara seperti ditunjukkan daripada perangkaan ini banyak didasari oleh pengukuhan elemen-elemen nilai murni, integriti dan akauntabiliti. Di samping itu, ia juga berasaskan pertanggungjawaban semua pihak bagi memastikan kejayaan negara dan kesejahteraan rakyat dikecapi secara berterusan.

 4    . Pada masa yang sama, kesedaran rakyat semakin meningkat supaya gejala yang bertentangan dengan prinsip etika dan integriti seperti rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa dan ketidakcekapan dihapuskan. Rakyat menuntut integriti dipertahan dan dipertingkatkan dalam semua urusan kerajaan, swasta, parti politik, media, kesatuan sekerja, NGO, belia, pelajar, dan masyarakat umum.


Rabu, 11 Mac 2015

VIDEO INSTITUT INTEGRITI NASIONAL

FAKTOR YANG MENYUMBANG KEJAYAAN SASARAN PIN


Pencapaian pelbagai objektif Strategi dan Pelan Tindakan PIN bergantung kepada dinamika dan daya tahan gerakan pemantapan integriti serta keupayaannya meresap ke akar umbi sehingga menjadi gerakan rakyat. Antara faktor yang menyumbang kejayaan sasaran Pelan Integriti Nasional (PIN) adalah :


1. Kepimpinan berteladan

2. Pendidikan berterusan dan berulang

3. Komunikasi berkesan

4. Persekitaran budaya yang kondusif

5. Kesediaan individu untuk berubah



Kepimpinan Berteladan

Kepimpinan adalah antara faktor penentu terpenting bagi kejayaan PIN. Kepimpinan sedemikian mempunyai iltizam politik yang teguh, berwawasan, menetapkan sasaran yang jelas, berpegang pada prinsip bersih, cekap dan amanah, menunjukkan teladan yang baik, berhemah serta mesra rakyat. Kepimpinan yang mempunyai ciri-ciri ini dapat memberikan inspirasi kepada rakyat, sekaligus menggembleng kekuatan mereka untuk mencapai matlamat PIN.


Pendidikan berterusan dan berulang

Pencapaian sasaran PIN juga amat bergantung kepada pendidikan nilai­nilai murni secara berterusan dan berulang di kalangan pelbagai sektor dan lapisan masyarakat. Melalui cara ini nilai-nilai tersebut beransur­ansur dapat dihayati dan dilaksanakan sehingga menjadi sebahagian daripada kebiasaan hidup. Dengan demikian ia akhirnya menjadi budaya individu dan masyarakat.


Komunikasi Berkesan

Salah satu faktor yang boleh menyebabkan kegagalan mana-mana perancangan perubahan termasuk PIN ialah kegagalan berkomunikasi. Oleh itu, komunikasi yang berkesan, jelas, terfokus, dan mudah difahami amat penting.


Persekitaran Budaya yang Kondusif

Persekitaran yang kondusif bermaksud adanya suatu budaya di mana rakyat di merata tempat berminat mengenai etika dan integriti serta mengamalkannya. Minat dan pengamalan ini akan terus berkembang apabila pemimpin menepati janjinya.
Penguatkuasaan terhadap gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa pula semakin berkesan dan tidak dilakukan secara 'rnemilih bulu'. Perkernbangan ini akan lebih terdorong lagi apabila tedapat penyelesaiaan terhadap kes-kes yang menarik perhatian umum.

Kesediaan individu untuk Berubah

Dari segi pembinaan insan, peranan individu sangat penting. Pemahaman, kesedaran dan pengetahuan individu mengenai nilai-nilai murni, yang dipupuk melalui pendidikan dan komunikasi berkesan akan menyumbang kepada gerakan pemantapan integriti. Keinsafan mereka tentang perlunya kelemahan diri diatasi akan meningkatkan komitmen mereka untuk berubah. Dengan cara itu, individu berkenaan akan lebih komited kepada usaha meningkatkan amalan beretika, sekaligus integriti.

PELAN INTEGRITI NASIONAL


Usaha Memantapkan Nilai Etika Dan Integriti

Hasrat untuk melahirkan modal insan yang mempunyai “Minda Kelas Pertama” sememangnya menuntut kepada pembinaan masyarakat yang mempunyai nilai moral dan etika yang kukuh. Sehubungan itu, usaha ini telah dipertingkatkan oleh Tun Abdullah melalui pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN) di mana agenda integriti telah di gerakkan dengan melibatkan perancangan menyeluruh oleh semua sektor secara bersepadu. Penggubalan Pelan Integriti Nasional yang merupakan satu pelan induk telah mengambil kira strategi dan hala tuju semua sektor masyarakat supaya mereka dapat bekerjasama dan mengambil bahagian secara langsung dalam usaha memantapkan nilai etika dan integriti.

Tun Abdullah telah melancarkan Pelan Integriti Nasional pada 23 April 2004 di Putrajaya. PIN merupakan pelan jangka panjang yang menyeluruh, lahir daripada aspirasi rakyat dan pemimpin berdasarkan Cabaran Keempat Wawasan 2020 iaitu untuk “membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya yang mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur”. Serentak dengan pelancaran PIN, Kerajaan menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM) sebagai agensi penyelaras dan pemantauan pelaksanaan PIN. Pelancaran PIN dan penubuhan IIM merupakan pendorong utama ke arah usaha dan pencapaian agenda integriti negara.

“Gerakan pemantapan integriti yang dipacu oleh Pelan Integriti Nasional (PIN dan dikoordinasi oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) ialah suatu gagasan yang semakin menawan imaginasi pelbagai lapisan masyarakat Malaysia. Ia sedang menjadi suatu kekuatan masyarakat bagi mengurus kejayaan dan mengatasi kelemahan dengan berkesan. Pelancaran PIN dan penubuhan Institut ini akan menjadi pendorong terbesar ke arah pencapaian matlamat gerakan pemantapan integriti. Kesemua ini akan membolehkan Malaysia secara teratur melangkah ke hadapan untuk mencapai cita-cita menjadi sebuah masyarakat maju menurut acuan sendiri, serta membinanya menjadi lebih CEMERLANG, GEMILANG dan TERBILANG”.

Pada tahun 2008, pelaksanaan PIN telah diperhebat dengan lahirnya misi TEKAD 2008. Lima sasaran keutamaan TEKAD 2008 bagi pelaksanaan PIN ialah:
• mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa secara berkesan,
• meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi karenah birokrasi,
• meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan,
• memantapkan institusi keluarga dan komuniti, dan
• meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.

Akademi Badan Pencegah Rasuah (BPR) juga telah ditubuhkan iaitu yang pertama seumpamanya di rantau Asia Pasifik bagi membuktikan kesungguhan Malaysia membanteras rasuah. Kewujudan akademi ini membawa makna besar kepada usaha berterusan negara menangani masalah rasuah secara serius. Dengan adanya akademi ini, ia turut melengkapkan matlamat penggubalan Pelan Integriti Nasional (PIN) dan penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM).




PELANCARAN  PELAN  INTEGRITI NASIONAL






Selasa, 10 Mac 2015

PELAN INTEGRITI NASIONAL

LATAR BELAKANG

PELAN INTEGRITI NASIONAL (PIN)

Menyedari  tentang  pentingnya  integriti  di  kalangan  masyarakat, Kerajaan  telah  menyediakan
dan  melaksanakan  Pelan  Integriti  Nasional (PIN).  Pelan  ini  dibangunkan  dengan  fokus utamanya  untuk  menanam  dan  memupuk  budaya  etika  dan  integriti  di  kalangan  semua  lapisan masyarakat  Malaysia. Pelan  seumpama  ini  membolehkan  Kerajaan  merancang  pelbagai  program  secara  teratur  dalam  usaha  membudayakan  etika  dan  integriti  masyarakat. Sebelum  ini  telah terdapat  pelbagai  usaha  yang  dilakukan, tetapi  didapati  usaha-usaha  ini  tidak  konsisten  dan tidak  menyeluruh  dan  hasilnya  sebilangan  besar  usaha-usaha  ini  menemui  kegagalan  terutamanya  dalam  usaha  mewujudkan  sinergi  semua  sektor. Skop  dan  konsep  yang  dibawa  oleh  PIN  kelihatannya  lebih  menyeluruh  dan  holistik  dalam  memberi  panduan  kepada  setiap komponen  masyarakat  untuk  membudayakan  integriti.
PIN  yang  dilancarkan  pada  23  April  2004, oleh Y.A.B. Perdana  Menteri  Malaysia, Datuk  Seri Abdullah  Haji  Ahmad  Badawi, adalah  selaras  dengan  cabaran  ke  empat  Wawasan  2020  iaitu untuk  “Membentuk  sebuah  masyarakat  yang  kukuh  ciri-ciri  moral  dan  etikanya,  dengan  para warganya  mempunyai  nilai  keagamaan  dan  kerohanian  yang  utuh,  dan  ditunjangi  oleh  budi pekerti  yang  luhur”. Objektif  khusus  PIN  adalah;

1. Memberikan  hala  tuju  dan  bimbingan  pelbagai  sektor  supaya  mereka  dapat  bekerjasama dalam  usaha  besar  membina   masyarakat  yang  bersatu  padu,   berharmoni,  berintegriti,  bermoral dan  beretika;

2. Meningkatkan   kesedaran,   komitmen  dan  kerjasama  pelbagai  sektor  dalam  usaha  peningkatan  integriti  supaya  integriti  menjadi  budaya   masyarakat  dan   diamalkan  dalam  semua  bidang;

3. Menggalakkan  semangat   bertanggungjawab  di  kalangan  anggota  masyarakat  serta  mendorong  perkembangan  masyarakat  sivil  yang  menjunjung  prinsip  integriti  dan  bergerak cergas  menegakkan  integriti;

4. Menyumbang  kepada  usaha  pengukuhan  asas  moral  masyarakat  dan  negara, dan  peningkatan kesejahteraan  hidup  anggota  masyarakat

5. Meningkatkan  daya  saing  dan  daya  tahan  Malaysia  dalam  usaha  menangani  cabaran  abad ke-21  khususnya  cabaran  globalisasi  dengan  lebih  berkesan.